........SELAMAT DATANG KE BLOG SANI.......

Sunday, July 4, 2010

info kesihatan-By Sani Cool

Wanita urat bersimpul ???


"URAT" hijau kebiruan yang menular di kaki, betis ataupun paha pasti menimbulkan kerisauan kerana ia kelihatan hodoh dan kadangkala mengerikan.

Urat bersimpul atau vena varikos selalunya berlaku ketika kehamilan, wanita yang sering mengambil pil perancang keluarga dan mereka yang berdiri terlalu lama.



Lebih membimbangkan jika urat hijau kebiruan itu turut menular ke bahagian lain seperti di zakar atau dikenali sebagai varicocele. Vena varikos juga kadangkala menular sehingga ke faraj, iaitu di bahagian depan tulang ari-ari.

Mengapakah keadaan ini berlaku dan siapa golongan yang berisiko tinggi mengalami urat bersimpul?

Perunding bedah di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, Dr Zain al-Rashid Mohd Nor, berkata urat bersimpul lazimnya lebih kerap dialami wanita berbanding lelaki.

Beliau berkata, golongan paling berisiko mengalami masalah urat bersimpul ini boleh dikaitkan dengan mereka yang berdiri terlalu lama.

Katanya, kerjaya yang menuntut seseorang itu berdiri dalam jangka masa lama ialah polis trafik, guru dan jururawat.

“Wanita yang sedang hamil, kerap hamil dan tidak menjarakkan kelahiran berisiko mengalami urat bersimpul. Kegemukan, faktor keturunan, kecederaan disebabkan kemalangan yang membabitkan kaki ataupun betis turut mendedahkan seseorang kepada masalah urat bersimpul,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Zain al-Rashid berkata, bagi mereka yang mengalami masalah kegemukan, urat bersimpul berpunca daripada tekanan darah di dalam urat atau vena yang semakin meningkat.

Katanya, peningkatan itu disebabkan saluran injap yang sepatutnya membekalkan darah ke jantung tidak berfungsi sebagaimana normal.

Sehubungan itu, katanya, keadaan ini seterusnya menyebabkan injap mengalami kerosakan manakala darah pula akan bertakung di kaki dan ini mendedahkan pesakit kepada urat bersimpul.

Beliau berkata, bagi wanita hamil pula, rahim yang kian membesar menghimpit urat darah di punggung dan ini menyebabkan tekanan darah turut meningkat yang seterusnya mendedahkan pesakit kepada urat bersimpul.

“Lazimnya, selepas melahirkan, masalah urat bersimpul akan reda walaupun tidak seperti sedia kala kerana mereka terus mengalami masalah itu,” katanya.

Apakah simptom urat bersimpul?

- Kaki terasa berat;

- Selepas lama berdiri, pesakit akan terasa kaki seperti hendak pecah kerana tekanan darah meningkat;

- Buku lali membengkak jika keadaan pesakit semakin teruk;

- Kulit terutama di bahagian urat bersimpul akan mengalami kebengkakan dan bertukar menjadi gelap atau kehitaman.

- Luka atau ulser yang lambat sembuh.

- Ulser yang dialami bertukar menjadi kanser. Bagaimanapun, keadaan ini amat jarang berlaku di kalangan pesakit urat bersimpul. Hanya selepas 10 tahun, ulser itu berkemungkinan bertukar menjadi kanser.

Apakah pemeriksaan bagi masalah urat bersimpul?

Ketika pemeriksaan dilakukan, doktor akan mengenal pasti urat yang bersimpul dan menentukan saluran di dalam otot yang tersumbat.

Doktor juga akan memastikan injap mana yang mengalami kerosakan sebelum melakukan beberapa ujian.

Antara ujian yang dilakukan ialah pemeriksaan darah, ultra bunyi, dopler ultra bunyi (untuk mengesan urat bersimpul atau tersumbat), venogram iaitu sejenis ujian sinaran X dan endoskopi iaitu memasukkan teropong kecil ke dalam vena.

Apakah rawatan bagi urat bersimpul?

Rawatan bagi masalah urat bersimpul bergantung kepada tahap penyakit dihidapi. Jika keadaan pesakit tidak serius, mereka akan diberi ubat dan doktor akan menasihatkan pesakit supaya banyak berehat dan menaikkan kaki kerana ini dapat mengurangkan tekanan ke atas urat.

Kadangkala doktor juga akan menasihatkan pesakit memakai stokin tebal dikenali sebagai graduated pressure stoking yang mampu membantu peredaran darah pada urat kaki.

Bagaimanapun, pesakit kurang selesa memakai stokin khas itu kerana mereka akan terasa panas kerana stokin itu lebih sesuai jika dipakai di negara bercuaca sejuk.

Ada juga pesakit yang diberi ubat-ubatan dikenali sebagai venotonic untuk menguatkan saluran vena. Bagaimanapun, hanya pesakit urat bersimpul peringkat awal akan diberi ubatan seumpama itu.

Bagi kes urat bersimpul yang tidak serius, doktor juga akan memberi suntikan untuk mengecutkan urat dan ia dikenali sebagai sclerotherapy. Melalui suntikan itu, urat yang bersimpul akan disuntik kerana ia boleh menimbulkan keradangan.

Bagaimanapun, jika urat bersimpul itu serius, pesakit dinasihatkan menjalani pembedahan. Lazimnya, simptom utama yang menyebabkan pesakit dinasihatkan menjalani pembedahan jika urat mereka kelihatan lebam kehitam-hitaman.

Namun begitu, hanya 10 peratus pesakit urat bersimpul dinasihatkan supaya dibedah.

Melalui pembedahan, doktor akan menarik urat yang bersimpul dan rosak dan kaedah ini dikenali sebagai stripping of varicose vein."

No comments:

Post a Comment